Nik Aziz Meninggal Dunia


KOTA BHARU, 12 Februari:
Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Aziz Nik Mat meninggal dunia jam 9.45 tadi setelah dilaporkan telah dibenarkan keluar daripada Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian, sebentar tadi.
Allahyarham menghembuskan nafas terakhir kira-kira sejam selepas tiba di rumahnya di Pulau Melaka dari hospital.
Allahyarham Nik Aziz dilahirkan pada tahun 1931 di Kampung Pulau Melaka dalam sebuah keluarga yang sangat kuat berpegang kepada ajaran Islam.
Allahyarham telah mendirikan rumahtangga dengan Tuan Sabariah binti Tuan Ishak.
Hasil perkahwinan tersebut mereka telah dikurniakan 10 orang anak, lima lelaki dan lima perempuan.
Sebelum itu bekas Menteri Besar Kelantan itu dibenarkan keluar pada jam 8.45 malam tadi, selepas menerima rawatan selama 25 hari di hospital berkenaan, lapor portal berita Astro Awani dan jugaBerita Harian.
Difahamkan, bekas Menteri Besar Kelantan itu tidak sedarkan diri dan kini bergantung kepada bantuan oksigen.
Kedengaran juga bacaan Yasin dari dalam rumah Musyidul Am PAS itu, selain pekarangan rumah mula dipenuhi orang ramai dan wartawan, lapor portal Harian Metro.
Nik Aziz yang menghidap penyakit kanser prostat tahap empat, mula dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) HUSM sejak 19 Januari lalu, berikutan kesihatannya semakin merosot.
Lebih tiga jam sebelumnya, anak beliau, Ahli Parlimen PAS Pasir Mas, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz melalui laman Facebook beliau melaporkan perkembangan kesihatan ayahandanya hari ini merosot.
“Tahap kesihatan ayahanda menurun selepas jalani rawatan pada ulsernya semalam. Doktor sedang berusaha stabilkan.
“Saya tidak pasti samada ayahanda akan dibenarkan pulang pada pagi esok sebagaimana dijadualkan.
“Saya tunggu pengesahan doktor. Doakan semoga ayahanda sihat kembali,” kata Nik Mohamad Abduh di Facebook beliau.


0 Response to "Nik Aziz Meninggal Dunia"

Post a Comment